SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Idea "sekecil” pensel kini mekar jadi projek bantu golongan memerlukan
SEMANGAT MEMBANTU: Cik Sarimah berharap usahanya dapat mewujudkan semula semangat gotong-royong yang dilaluinya semasa membesar di kampung tidak lama dulu. – Foto BH oleh KHALID BABA

Berita Harian (27 January 2022)

IA bermula dengan niat murni dan mudah – menderma pensel dan alat tulis lain ke sebuah rumah tumpangan anak yatim di Thailand.

Namun kini, idea yang berputik di benak Cik Sarimah Amat sekitar enam tahun lalu itu telah mekar menjadi projek lebih besar yang membantu kanak-kanak dari keluarga susah di dalam dan luar negara.

Mengimbas pengalamannya pada ketika itu, Cik Sarimah, yang mengasas dan kini memimpin pertubuhan amal Projek Pensel Singapura secara sepenuh masa, berkata beliau tidak sangka berjaya mengumpulkan begitu banyak pensel bagi projek sulungnya itu.

Menurut Cik Sarimah, kini 54 tahun, beliau berjaya mengumpulkan pensel dan peralatan tulis seberat 70 kilogram dengan hanya menyuarakan hajatnya itu di Facebook.

Pada ketika itu, beliau sekadar ingin membantu seorang teman yang sedang mengumpulkan pensel untuk didermakan ke Thailand.

“Secara kebetulan, saya mempunyai sekotak pensel di rumah... dan rakan saya memberitahu saya sekotak pensel mungkin boleh digunakan oleh 30 kanak-kanak.

“Mana cukup, fikir saya... saya kemudian meminta rakan saya itu untuk memberi saya sedikit masa untuk mendapatkan lebih banyak pensel,” ujar Cik Sarimah, ibu tiga anak yang juga menjadi ibu titipan kepada dua lagi anak.

Projek pertama ke Thailand itu mendorong Cik Sarimah untuk mengulangi usahanya bagi membantu kanak-kanak di negara lain pula dan buat masa ini, beliau telah menghantar alat tulis kepada kanak-kanak yang memerlukan di Indonesia, Filipina, Malaysia dan juga India.

“Saya bak sedar akan panggilan baru ini dan minat kian membara untuk menghulur bantuan dengan cara ini,” kata Cik Sarimah.

Dua tahun lalu, di awal penularan Covid-19, Cik Sarimah mengorak langkah untuk membantu jiranjiran di sekitar kawasan tempat tinggalnya pula.

HIDUPKAN SEMANGAT KEJIRANAN: Kumpulan relawan ‘Project Pencil @ Yishun 71’ yang terdiri daripada penduduk di kejiranan Yishun Street 71 berusia antara empat hingga 66 tahun yang bergabung tenaga mengagihkan keperluan dapur kepada penduduk yang memerlukan. – Foto BH oleh KEVIN LIM

Beliau memulakan Project Pencil @ Yishun 71, yang bertujuan memberi sokongan kepada keluarga dan warga tua yang memerlukan.

Lebih menarik lagi, projek itu diusahakan supaya jiran yang lebih mampu atau bernasib baik dapat turut menghulur bantuan kepada jiran yang lebih memerlukan.

Menurut Cik Sarimah, beliau berharap usaha beliau itu dapat mewujudkan semula semangat gotongroyong yang dilaluinya semasa membesar di kampung tidak lama dulu.

Dalam tempoh dua tahun ini, projek tersebut telah berkembang dan kini beliau mempunyai lebih banyak sokongan bagi menjalankan programnya.

Buat masa ini, Project Pencil@Yishun 71 berpangkalan di sebuah unit pejabat di Chong Pang di mana ia turut menganjurkan kelas tuisyen bagi 42 pelajar daripada sekitar 35 keluarga yang memerlukan. Keluarga-keluarga itu juga mendapat sokongan berupa barangan runcit.

“Dulu saya seorang, tetapi kini kami seramai 15 orang tidak termasuk relawan-relawan yang kerap membantu,” kata Cik Sarimah, yang turut diiktiraf Anugerah Yishunite Of The Year daripada Majlis Bandaran Nee Soon yang mengiktiraf sumbangannya kepada penduduk di kawasan tersebut.

Tahun lalu, beliau diberikan Anugerah Inisiatif Penglibatan Masyarakat Singapura (Berpasukan) sempena Anugerah Tindakan Pesakit Singapura 2021.

Beliau amat berterima kasih atas segala pengiktirafan tersebut sambil berkata: “Anugerah ini membawa pertubuhan amal kami ke peringkat yang seterusnya dan saya gembira kerana ia juga beri pengiktirafan kepada ahli pertubuhan amal ini,” kata beliau. Namun, bagi Cik Sarimah, ganjaran yang lebih bermakna bagi beliau adalah struktur sokongan antara jiran yang kini wujud di kawasan kejiranannya.

“Menerusi inisiatif ini, kami dapat mengumpulkan masyarakat dan penduduk juga tahu tempat dan siapa untuk ditemui bagi mendapatkan bantuan.”

Memandang ke hadapan, Cik Sarimah berkata beliau berharap dapat memperluas jangkauan bantuan yang dihulurkan itu ke lebih banyak kawasan di samping melahirkan harapan melihat lebih ramai orang tampil menghulur bantuan.

“Jika ada lebih tenaga, kami boleh memperkukuh urusan logistik dan membantu lebih ramai orang. Sesiapa sahaja boleh, asalkan ada niat mahu menghulurkan bantuan,” kata beliau.

“Dulu saya seorang, tetapi kini kami seramai 15 orang tidak termasuk relawan-relawan yang kerap membantu... Menerusi inisiatif ini, kami dapat mengumpulkan masyarakat dan penduduk juga tahu tempat dan siapa untuk ditemui bagi mendapatkan bantuan... Jika ada lebih tenaga, kami boleh memperkukuh urusan logistik dan membantu lebih ramai orang. Sesiapa sahaja boleh, asalkan ada niat mahu menghulurkan bantuan.”

- Cik Sarimah Amat

SEKILAS

Cik Sarimah memulakan projek masyarakat bernama Project Pencil @ Yishun 71 pada Mac 2020 untuk membantu warga tua dan keluarga susah yang memerlukan bantuan di 16 blok sekitar estet perumahannya. Ini termasuk menghantar makanan, membawa mereka ke doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan membelikan barang keperluan dapur untuk mereka.

Bantuan yang beliau berikan ini menjadi lebih genting di tengah-tengah pandemik ini.

Projek tersebut adalah lanjutan program yang dimulakan beliau lebih awal, bernama Project Pencil, di mana beliau menyediakan alat tulis bagi kanak-kanak di sini dan luar negara.

Usaha beliau membantu masyarakat telah diiktiraf beberapa kali. Selain memenangi anugerah Anugerah Inisiatif Penglibatan Masyarakat Singapura (Berpasukan) di Anugerah Tindakan Pesakit Singapura 2021 berdasarkan usahanya menerusi Project Pencil @ Yishun 71, Cik Sarimah juga dinobat sebagai Yishunite Of The Year pada 2020, anugerah yang dianjurkan oleh Majlis Bandaran Nee Soon untuk mengiktiraf sumbangan penduduk GRC Nee Soon yang telah memberi sumbangan kepada masyarakat dan menunjukkan semangat berkhidmat kepada orang lain.
















2022/01/28
Last Updated on